Wednesday 28 May 2014

sebatang pen dan sehelai kertas kosong

Aina terkocoh-kocoh ke kelas. Selalu sahaja dia lambat menghadiri kelas pagi. Jam di pergelangan tangan kiri itu dipandang lagi. Hati berseru-seru agar jarum jam Q&Q itu berhenti buat seketika. Kuiz mekanik kuantum akan bermula dalam masa dua minit.

Dengan mengah yang masih tersisa, Aina tiba di kelas 5 minit kemudian dan terus mendapatkan soalan kuiz seraya mencari-cari tempat kosong. Penjaga peperiksaan yang ditugaskan oleh Prof Roslan sedang menulis kod kursus serta tempoh waktu kuiz dijalankan.

"STSF 2223. Masa : 11.00 - 11.40"

Aina membaca tulisan yang tertera pada papan putih itu. Mungkin masa itu terlalu lama buat mereka yang kurang bersedia seperti dirinya. Tanpa sedar diri sendiri dimarahi. Walhal tempoh masa untuk belajar sudah diberi malah bab yang akan disoal juga sudah diberitahu dua minggu yang lalu.

The battle against yourself. Sangat susah. Mujahadah lawan nafsu. Lawan diri sendiri.
Kita baru kembali dari satu peperangan yang kecil untuk memasuki peperangan yang lebih besar. Sahabat terkejut dan bertanya, “Peperangan apakah itu wahai Rasulullah ? ” Baginda berkata, “Peperangan melawan hawa nafsu.” 
(Riwayat Al Baihaqi)
Fikiran terbang merentas dimensi. Pen diputar-putar. Kertas yang baru diisi suatu formula tadi dibiar kosong tanpa contengan seterusnya.



Sungguhlah kalaupun manusia itu tidak dipisahkan roh dari jasadnya ratusan tahun sekalipun, dia tetap akan menyesal di akhir hayatnya kerna tak berbuat sehabis baik sewaktu di dunia.
Dan (ingatlah) masa Tuhan himpunkan mereka (pada hari kiamat kelak), dengan keadaan mereka merasai seolah-olah mereka tidak tinggal di dunia melainkan sekadar satu saat sahaja dari siang hari. Mereka akan berkenal-kenalan sesama sendiri. Sesungguhnya rugilah orang-orang yang telah mendustakan hari menemui Allah untuk menerima balasan dan yang tidak mendapat petunjuk (ke jalan mencari untung semasa hidup di dunia). 
Yunus : 45

Termenung lagi. Situasi ini seolah berkata-kata,

"Nanti kat akhirat pun macam ni jugak, jika akhirnya kau tak layak pun nak masuk syurga.

Tapi beza sikit. Sebab nanti dah tak ada peluang nak patah balik dan usaha menggapai syurga.

Kalau sekarang, boleh balik dan usaha lagi."
Dan [alangkah ngerinya], jika sekiranya kamu melihat ketika orang-orang yang berdosa itu menundukkan kepalanya di hadapan Tuhannya, [mereka berkata]: "Ya Tuhan kami, kami telah melihat dan mendengar, maka kembalikanlah kami [ke dunia], kami akan mengerjakan amal saleh, sesungguhnya kami adalah orang-orang yang yakin"
As-Sajda : 12 
***

Jangan biarkan umur dan peluang yang masih diberi sia-sia.

Manfaatkan sebaiknya, agar punya saham untuk ke syurga.

No comments:

Post a Comment