Sunday 27 April 2014

expired

"Aku nak turun kedai runcit jap. Ada sesiapa nak kirim apa-apa tak?" Kak Zu memecah kesunyian dalam perpustakaan itu sedang orang lain bertungkus lumus menyiapkan tugasan kaedah berangka.

"Belikan aku muzic bar, thanks." Fina memesan sambil menghulurkan dua keping not seringgit.

"Aku nak Nips."

"Beli Wafer coklat untuk aku."

"Nak air mineral eh?"

Beberapa suara lain turut memesan makanan.

Sepuluh minit berlalu. Kak Zu kembali dengan dua beg plastik di tangan.

Fina membelek-belek muzic bar di tangan mencari tarikh luput. Jumpa.

"Kak, biskut ni dah expired."Fina bersuara kemudian.

"Oh maaf, aku tak tengok pulak expired date."Kak Zu bersuara serba salah.

"Takpe, nanti aku turun tukar, tugasan ni dah nak siap." Senyum.

"Aku perasan jugak kau selalu tengok tarikh luput. Kadang-kadang macam terlepas pandang benda macam tu." Kak Zu duduk kembali. Menyambung tugasan yang terhenti tadi.

"Em. Sebab memang semua benda kat dunia ni ada tarikh luput kan." Kita sendiri pun. Sedar atau tidak je. Fina menyambung dalam hati.


Sering sahaja kita lupa.

Semua benda punya tarikh luput, kecuali Dia.

Setiap yang bernyawa akan merasakan mati.
Al-Anbiya':35
Usahalah sebaiknya,

Agar mati nanti tak sia-sia.


Wednesday 16 April 2014

penat

"Dhiya, aku penat." Mata Aisyah berkaca-kaca. Seolah manik-manik jernih itu cuma menunggu masa untuk membasahi pipi.



"Hmm. Aku ada, kalau kau nak cerita apa-apa." Dhiya memandang sahabatnya yang kelopak matanya sudah bergenang dengan air.

"Entah. Aku tak tau sama ada aku penat sangat kejar dunia tak pun penat lawan diri sendiri. Sedihla. Sebab orang lain macam tak cukup tanah buat kebaikan. Setiap saat terisi." Jeda. Wajah yang sudah dibasahi air mata itu cuba mengukir senyum.

"Tapi aku, dengan diri sendiri pun macam kalah. Padahal aku pun nak je selalu buat baik." Aisyah menyeka air matanya sambil bercerita.

"Bawak tafsir tak?" Dhiya bertanya setelah tangisan sahabatnya reda.

"Em, ada." Aisyah menjawab sambil menyelongkar isi beg mencari sebuah tafsir mini yang selalu dibawanya ke mana-mana.

"Cuba buka muka surat 49, baca ayat yang last sekali, baca dengan makna." Senyum.

Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya. Ia mendapat pahala [dari kebaikan] yang diusahakannya dan ia mendapat siksa [dari kejahatan] yang dikerjakannya. [Mereka berdo’a]: "Ya Tuhan kami, janganlah Engkau hukum kami jika kami lupa atau kami tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau bebankan kepada kami beban yang berat sebagaimana Engkau bebankan kepada orang-orang yang sebelum kami. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan kepada kami apa yang tak sanggup kami memikulnya. Beri ma’aflah kami; ampunilah kami; dan rahmatilah kami. Engkaulah Penolong kami, maka tolonglah kami terhadap kaum yang kafir".
2 : 286
"Dia takkan uji melebihi yang aku mampu." Aisyah senyum.

"That's it. Dan tak adil kalau kau nak hukum orang lain sama dengan kau, untuk apa yang mereka mampu buat dan kau tidak. Sebab setiap orang diuji beza-beza." Dhiya memujuk lagi.


Sering sahaja kita merasa, seolah kita seorang yang penat, yang punya masalah. Sedangkan kita tak tahu apa yang di dalam hati mereka.

Kerna ujian Tuhan tak sama, untuk kau dan dia.

Tapi, kau kena yakin, Dia tak uji apa yang kau tak mampu hadapi.

Moga-moga penat itu tak sia-sia.

Dan orang-orang yang berjihad untuk [mencari keridhaan] Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan Kepada mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah benar-benar beserta orang-orang yang berbuat baik. 
Al-Ankabut : 69 
 

Monday 14 April 2014

kawan

"Fa, agak-agak kita kawan sampai bila?" Air mineral yang dibeli tadi diteguk perlahan. Penat pusing tasik. Walaupun jogging mereka petang itu diselang seli dengan jalan kaki sahaja, penat tetap terasa.

"Entah, sampai bila-bila kot." Botol mineral miliknya turut dicapai dan air dibawa menuruni rengkungan.

"Kenapa tanya?" penutup botol kembali ke tempat asal. Duduk dibetulkan. Kaki dilunjurkan ke arah tasik.

"Saja. nak tau apa respon kau." Nabila kembali bersuara sambil memandang ke langit. Burung-burung sudah beransur-ansur pulang ke rumah masing-masing memandangkan hari sudah petang menginjak ke malam.

"Oh. Kalau ditakdirkan aku mati dulu nanti, doakan aku? boleh kita masuk syurga sama-sama." Aifa turut memandang langit yang sama. Langit yang kian gelap menandakan berakhirnya hari. Bulan sudah mula samar-samar menampakkan diri.

Aifa dan Nabila masih statik di situ. Belum punya tanda-tanda mahu pulang.

"Dengan syarat kau pun kena buat yang sama kalau aku yang mati dulu." Nabila memeterai janji.

Tangan Aifa dicapai. "Balik jom? macam mana nak masuk syurga kalau solat pun lambat."


Kawan bukan sekadar diertikan dengan gelak tawa riang gembira

bukan juga yang paling memahami dan sehati sejiwa

Namun kawan adalah yang mampu sangka baik setiap masa

Dan mampu berpimpinan tangan menuju syurga.