Monday 24 March 2014

mati.

Dan datanglah sakaratulmaut dengan sebenar-benarnya. Itulah yang kamu selalu lari daripadanya. 
Surah Qaf : 19

Ain terkaku. Nafasnya menjadi sesak serta-merta. "Adakah ini hari kematianku?" Hati monolog sendiri.

Seluruh badan tak mampu digerakkan. Cuma mulut yang mampu bergerak terkumat-kamit melafazkan istighfar. "Tapi, kalau ini adalah saat sakaratul maut, masih diterimakah taubatku?" Hati berkata-kata lagi.

Tidak mempedulikan kata hati, jasad yang terkaku sejak dua minit yang lalu terus-terusan mengucap syahadah. Bimbang seperti apa kematiannya. Mengharapkan husnul khatimah pastinya.



Lima minit berlalu. Telefon yang ingin dicapai dari tadi selamat dalam genggaman. Jasad yang tadinya kaku mampu digerakkan kembali.

Alhamdulillah.Alhamdulillah.Alhamdulillah.

Allah masih nak bagi peluang. Untuk melaksanakan perintahnya. Moga-moga peluang itu tak disiakan.

Hidup itu singkat sekali. Untuk dibazirkan dengan sia-sia.
Allah bertanya: "Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?" Mereka menjawab: "Kami tinggal [di bumi] sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada orang-orang yang menghitung." Allah berfirman: "Kamu tidak tinggal [di bumi] melainkan sebentar saja, kalau kamu sesungguhnya mengetahui." Maka apakah kamu mengira, bahwa sesungguhnya Kami menciptakan kamu secara main-main [saja], dan bahwa kamu tidak akan dikembalikan kepada Kami?
Al-Mu'minun : 112-115 
Semoga terus kuat. Untuk melaksanakan perintah-Nya.

Wednesday 19 March 2014

permintaan

"How hard did you try?" Soalan Aleksandr kepada Dash dalam novel Anthem seolah menyapa telinga.

"Kalau tak cuba, takdela pengalaman." Norma bersuara memujuk.

Permintaan tu seakan berat. Menjadi penyampai di hadapan lebih daripada 30 peserta. Sungguhlah debaran tu menyesakkan dada.



"Allah akan tolong, serah segalanya kepada Dia. Kita tiada daya upaya pun tanpa pertolongan Dia."-Ustaz Syed Abdul Kadir Aljoofre

"Afif yakin ifa boleh."

Dan kata-kata mereka mendesak aku membuat sebuah keputusan.

Tak salah mencuba. Dan pengharapan cuma kepada Allah tentunya. 

Dhuha,jom

"Han,kau lepak kat sini je kan?"

Angguk.Muka tak beralih dari buku di tangan.

"Jagakan barang aku, nak pergi surau jap." Wan bersuara lagi.

Sahabat dipandang sekilas."Ok." Angguk lagi.

Wan mengatur langkah ke surau yang berada sepelaung dari tempat lepak mereka. Tempat lepak yang lazimnya dihuni pelajar-pelajar fizik, untuk bersembang atau menyiapkan tugasan, waktu selang untuk menunggu waktu ketibaan subjek berikutnya.

Han mengerling jam di tangan. Jarum pendek mengarah ke angka 11 dan jarum panjang menghala ke angka 12 menandakan jam tepat 11 pagi waktu Malaysia.

"Oh,solat dhuha." Hati terdetik sendiri. Buku di tangan diselak lagi. Bacaan terhenti pada muka surat 174. Tajuk besarnya sahaja sudah menjentik hati, 'Usah Menunggu Ikhlas'. Sungguhlah, cerita dari hati kan sampai ke hati.

Buku ditutup. Kelibat sahabat kelihatan bergerak menghampiri.

"Jagakan barang aku pulak, nak pergi surau." Muka penuh pengharapan.

"Ok." Wan menjawab sepatah dan mengambil tempat di meja panjang itu.

Bagi tiap-tiap ruas dari anggota tubuh salah seorang di antara kalian harus dikeluarkan sedekahnya setiap pagi hari. Setiap tasbih (Subhaanallah) adalah sedekah, setiap tahmid (Alhamdulillah) adalah sedekah, setiap tahlil (Laa Ilaaha Illallah) adalah sedekah, setiap takbir (Allahu Akbar) adalah sedekah, menyuruh untuk berbuat baik juga sedekah, dan mencegah kemungkaran juga sedekah. Dan semua itu boleh diganti dengan dua rakaat solat Dhuha.
-Hadis Riwayat Muslim



Terkadang, Tuhan menitipkan rasa ingin berubah melalui perlakuan mereka.

Ya, mereka-mereka yang benar-benar mengharap ganjaran Tuhannya.

Tak perlu kata-kata ajakan, cukup sekadar contoh teladan menggamit ikutan.



Sahabat, moga Allah ganjarimu syurga.